Saturday, 25 October 2014

Sila LIKE dan SHARE entry ini !




Menyulam cinta dengan seorang gadis yang mempunyai ramai peminat atau berada dalam kategori popular kadangkala membuatkan hubungan tersebut diuji dengan seribu satu dugaan.



Apatah lagi apabila si jejaka turut berada dalam kelompok kerjaya yang sama, barangkali timbul sedikit perasaan cemburu melihat pasangannya itu lebih dikenali berbanding dirinya yang sama-sama mencari makan sebagai anak seni.

Kesempatan bertemu dengan pelakon berbakat kelahiran program realiti Pilih Kasih musim kedua, Ku Hariz, 29, di Angkasapuri baru-baru ini, Hits cuba menyelami hati dan perasaannya, lebih-lebih lagi setelah pengarang jantungnya, Jihan Muse semakin meniti popularitinya tersendiri.

Menurutnya yang mesra disapa sebagai Hariz itu, apa yang dikecapi oleh Jihan adalah berdasarkan kerja kuat yang dilakukan saban hari semenjak tamat program realiti Raja Lawak musim ketiga.

Setelah beberapa tahun cuba mengenali selok-belok dunia hiburan yang diketahui umum banyak pancaroba, Hariz memberitahu bahawa dia dan Jihan memahami situasi diri mereka yang bergelar figura awam.

“Saya bangga dengan kejayaan Jihan. Kami saling mengenali di pentas teater hampir enam tahun lalu sebelum kami berdua menyertai program realiti masing-masing.

“Setelah terjun ke arus perdana, Alhamdulillah kami dapat mengharungi ranjau dunia artis yang berliku tanpa sebarang masalah. Paling penting, sifat memahami antara satu sama lain. Itu yang kami amalkan selain kejujuran terhadap diri masing-masing,” ujarnya yang merupakan pelakon telefilem Seteguh Kasih Ibunda yang bakal disiarkan menerusi slot Tribute P. Ramlee, pukul 10 malam setiap Ahad di TV1.

Impak kemasyhuran yang dikecapi Jihan, pemuda yang memiliki nama penuh Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli itu akur hubungan mereka kini banyak berlandaskan teknologi terkini ekoran kesibukan masing-masing.

Menurutnya, bukan sahaja Jihan, malah jadual seninya juga bertambah padat sejak kebelakangan ini dengan beberapa penggambaran termasuklah dalam menjayakan drama arahan Osman Ali itu.

“Selepas Jihan memenangi trofi Artis Komedi Wanita Popular, diakui dia semakin sibuk dengan pelbagai tawaran. Salah satunya adalah sebagai pengacara program Akademi Fantasia musim terbaharu.

“Pun begitu, pada masa yang sama, saya juga terlibat dalam beberapa penggambaran drama. Jadi, disebabkan masa yang amat terhad, kami jarang berjumpa. Namun ia bukan alasan untuk kami tidak berhubung.

“Telefon menjadi medium utama kami sebagai penghubung. Kami kerap berbual atau bermesej antara satu sama lain bertanya khabar. Di samping itu, demi mengukuhkan hubungan ini, kami saling mengingati agar memelihara dan menjaga batas masing-masing dalam pergaulan,” katanya memberi penjelasan.

Mengulas mengenai fasa yang lebih serius, Hariz berkata, dia sedang mencari masa yang sesuai untuk memikir ke arah tersebut dan tidak menolak jika jodoh mereka berdua tiba lebih awal daripada yang dirancang.

Ujar Hariz, penetapan jodoh pertemuan itu bukan berada di tangannya dan lebih gemar membiarkan takdir tersebut diaturkan oleh-Nya serta berdoa agar perjalanan dalam mendirikan rumah tangga dimakbulkan - UTUSAN MALAYSIA.

















Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

[X TUTUP IKLAN]

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...